MP Parit Buntar: Kesan 1MDB terhadap dasar fiskal negara

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT MALAYSIA

PERTANYAAN                    : LISAN

DARIPADA                          : Y.B. DATO’ DR. MUJAHID YUSOF RAWA

TARIKH                                : 30 MAC 2016

SOALAN                               :

Y.B. DATO’ DR. MUJAHID YUSOF RAWA [ PARIT BUNTAR ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan kesan dari isu 1MDB terhadap dasar-dasar fiskal negara.

JAWAPAN                           :

Tuan Yang di-Pertua,

Isu 1MDB tidak memberi kesan kepada dasar fiskal negara kerana tiada peruntukan terus daripada Kerajaan Persekutuan kepada syarikat 1MD Kerajaan hanya memberi jaminan kepada hutang Syarikat 1MDB sebanyak RM5.8 billion. Isu utama 1MDB pada masa ini ialah mismatch (dengan izin) antara aliran masuk (inflow, dengan izin) daripada operasi perniagaan serta penjualan aset dengan aliran keluar (outflow, dengan pembayaran faedah hutang (debt interest, dengan izin) dan pokok ,prinCipal, dengan izin). Mismatch ini berlaku disebabkan oleh penangguhan pelan pelaksanaan IPO dan kesukaran penjualan tanah milik 1MDB akibat daripada pelbagai tohmahan, kritikan dan sebagainya yang dilemparkan terhadap 1MDB.

Tuan Yang di-Pertua,

Bagi menangani cabaran tersebut dan untuk membayar balik hutang, Kerajaan telah mengambil langkah untuk menjalankan kaj ian strategik  atau strategic review (dengan izin) dan seterusnya melaksanakan Pelan Rasionalisasi. Antara pencapaian yang telah dicapai oleh 1MDB melalui pelaksanaan Pelan Rasionalisasi Syarikat 1MDB.

MP Parit Buntar: Gaji kakitangan awam dua kali sebulan

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT MALAYSIA

PERTANYAAN                    : LISAN

DARIPADA                          : Y.B. DATO’ DR. MUJAHID YUSOF RAWA

TARIKH                                : 23.03.2016

SOALAN                               :

Y.B. DATO’ DR. MUJAHID YUSOF RAWA [ PARIT BUNTAR] minta  MENTERI KEWANGAN menyatakan adakah Kerajaan bercadang mewujudkan pembayaran gaji kakitangan awam dua kali sebulan bagi menggalakkan aliran tunai serta perkembangan ekonomi dalam Negara.

JAWAPAN                           :

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan pernah menilai cadangan yang dikemukakan sebelum ini tetapi tidak meneruskan perancanc untuk melaksanakannya kerana kos usaha lebih tinggi berbanding faedah yang dikenalpasti.

MP Parit Buntar: Kutipan GST RM 3 billion sebulan

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT MALAYSIA

PERTANYAAN                    : LISAN

DARIPADA                          : Y.B. DATO’ DR. MUJAHID YUSOF RAWA

TARIKH                                : 17.03.2016

SOALAN                               :

YB DATO’ DR. MUJAHID YUSOF RAWA [PARIT BUNTAR] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan jumlah kutipan Cukai GST setelah dilaksanakan sehingga kini dan jumlah kutipan mengikut negeri-negeri setiap bulan.

JAWAPAN

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, hasil bersih kutipan GST iaitu setelah mengambil kira tuntutan kredit ke atas GST di peringkat input perniagaan bagi tempoh 1 April 2015 hingga 31 Disember 2015 adalah sebanvak RM27.012 bilion. Daripada jumlah tersebut, dianggarkan purata kutipan GST adalah sebanyak RM3 bilion bagi setiap bulan.

Memandangkan GST adalah cukai di peringkat Kerajaan Persekutuan yang dikenakan di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014, maka ia dikutip secara keseluruhannya tanpa mengambil kira lokasi pendaftaran dibuat dan perniagaan dijalankan di sesuatu negeri atau daerah. Dalam konteks ini, kutipan cukai GST di mana-mana negeri atau daerah tidak semestinya menggambarkan bahawa hasil tersebut berkaitan secara langsung dengan aktiviti ekonomi di tempat berkenaan semata-mata. Di samping itu, hasil GST import juga lebih tertumpu kepada negeri-negeri ang mempunyai pelabuhan utama. Sehubungan itu, kutipan hasil GST ialah merangkumi sumbangan daripada seluruh negara.

JANGAN TANYA SOALAN MAUT!

17 March 2016

2 wartawan ABC dari Australia menjadi mangsa terkini Perdana Menteri DS Najib apabila ditahan dan dihantar balik. Mereka membuat liputan dari program TV ‘Four Corners’. Tahukah apa salah mereka? Kalau tanya polis, mereka ditahan kerana kononnya menceroboh kepungan keselamatan ke atas PM. Betulkah dakwaan ini?

Asasnya ialah bukan menceroboh kepungan keselamatan tetapi soalan maut wartawan Linton Bresser adalah berkenaan bagaimana berbilion ringgit didakwa masuk ke dalam akaun peribadi PM. Soalan itu jadi damak beracun seolah ia satu cubaan bunuh pada PM. Tindakan polis menahan dan mengarahkan kedua wartawan pulang membawa petanda buruk buat negara. Pertama, kebebasan media menerima pukulan undur ke belakang, kedua, tanda kediktatoran semakin ketara dan ketiga isu 2.6B akaun peribadi PM memang sah satu skandal yang cuba disembunyikan.

Malaysia terpaksa menjawab di hadapan masyarakat antarabangsa dua isu besar yang senantiasa terpaksa dijawab oleh negara diktator dunia iaitu kebebasan maklumat dan salahguna polis menyekat kebebasan media. Dengan kes 2 wartawan Australia ini, negara kita mungkin tersenarai dalam liga negara diktator yang semakin pupus dan semakin tercorot kedudukan kebebasan media.

Kita perlu berasa malu dengan skandal 2.6 B yang dikaitkan dengan 1MDB serta sikap membisu ahli kabinet dan beberapa Ahli Parlimen. Lebih memalukan ialah 2 anggota kabinet dan seorang Menteri Besar dari Umno dipecat kerana menyoalkan soalan maut yang sama oleh wartawan Australia. Soalan maut ini turut ditagih oleh rakyat awam namun malangnya PM dan kabinetnya memilih untuk membiarkan isu 2.6B dalam akaun peribadi PM terus menjadi misteri.

Sekurangnya MH370 memang sebuah misteri kerana serpihannya tidak diketemui hingga hari ini tetapi RM2.6B sengaja dimisterikan walaupun para penyiasat berjaya membuat jejak audit aliran wang yang meragukan itu, malah 1MDB dikatakan ada kaitan dengan 2.6B. masuk dalam akaun peribadi PM.

Peristiwa wartawan ABC Australia disekat dan ditahan memalukan negara. Bukti ia sekadar menyekat soalan ialah, pihak polis kemudiannya melepaskan mereka dengan arahan pulang. Sudah terang lagi bersuluh negara ini perlu arahan baru dan kompas baru bukan sahaja kerana kita telah tersasar jauh tetapi negara kita diancam oleh beberapa pemimpin tertinggi yang mahu selamatkan diri mereka dari dibawa ke muka pengadilan. Dunia menuntut soalan maut ini diberi keadilan dan selagi mana ia tidak mendapat keadilan, entah siapa lagi yang akan menjadi mangsa soalan maut!

Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden Amanah
Ahli Parlimen Malaysia

POLITIK BAHARU DAN GERAKAN SELAMATKAN MALAYSIA

POLITIK BAHARU DAN GERAKAN SELAMATKAN MALAYSIA

bendera

15 Mac 2016
Tiada seorang pun yang akan skeptikal pada kemunculan politik baharu yang sangat diperlukan untuk kesinambungan hayat sesebuah negara. Perkembangan Gerakan Selamatkan Malaysia dan Deklarasi Rakyat adalah sebahagian proses tersebut.

Persoalan yang menjadi kontraversi ialah bagaimana proses kemunculannya? Apakah ianya berperingkat dari satu proses ke satu proses yang distrukturkan ataukah ianya ditentukan oleh peristiwa semasa yang mengaturkan kemunculannya ataukah ia campuran antara perancangan berstruktur dan takdir perkembangan semasa?

Saya berpandangan ianya satu proses yang merangkumi kesemua pendekatan antara perancangan, perkembangan peristiwa dan takdir semasa. Pandangan ini membawa kepada implikasi satu padang permainan yang berpindah gayanya dari ketentuan (certainty) kepada ketidaktentuan (uncertainty) daripada kebiasaan (normality) kepada ketidakbiasaan (abormality). Ini penting bagi penggiat masyarakat sivil dan politik untuk memahami medan yang sedang dipijaknya sudah berubah lantas gaya taktikalnya juga mesti berubah.

Sebab itulah ramai yang masih keliru dengan lahirnya Gerakan Selamatkan Malaysia dari latarbelakang Umno dan NGO, bagaimana mereka boleh bersinergi dengan kekuatan pembangkang? Selamat datang ke politik baharu!

Kenyataan bahawa proses yang kita sedang lalui ini penuh dengan ketidaktentuan bukanlah bermakna ianya ‘gaya bebas’ yang tidak bermatlamat, ironinya dalam hal ini ialah banyak pihak yang ada matlamatnya sendiri dalam proses ini tetapi politik baharu cuba berkrompomi untuk mencari titik pertemuan yang boleh dikongsi bersama.

Ya, ia memang mengelirukan seolah masing-masing ‘menggunakan’ antara satu sama lain tetapi yang pasti dalam proses itu ialah kita letakkan kepentingan masing-masing sebagai perkara kedua dan kita utamakan bina momentum dalan perkara yang menjadi titik pertemuan berbagai pihak yang bertentangan antara satu sama lain.

Kebiasaannya halatuju dan aktiviti akan dibincang bersama dalam kelompok yang sudahpun bersetuju dalam sebuah pakatan politik yang berstruktur dan ada terma rujukannya manakala yang tidak biasa ialah berbagai pihak yang tidak semestinya bersetuju antara satu sama lain dan tiada pakatan resmi cuba duduk sekali dan berunding kepentingan masing-masing untuk bertemu pada titik kebersamaan. Memang sukar dan mengelirukan pada sesetengah pihak tetapi proses itu adalah sebahagian dari politik baharu yang pastinya membuah produk yang unik.

Implikasi politik baharu ialah ia terpaksa beroperasi rentas parti demi matlamat yang lebih besar untuk kepentingan rakyat terbanyak. Ramai yang bertanya perkembagan politik terkini dengan soalan mana penghujungnya? Saya menjawab bahawa penghujungnya bukan tumpuan utama tetapi proses ke penghujungnya itulah yang perlu diutamakan sekarang. Yang membawa kita semua hari ini untuk bersama ialah pemimpin korup perlu ditamatkan dan reformasi demokrasi dan institusi negara perlu diubah dan dirombak, itu sendiri sudah cukup memandu kita ke matlamat dan proses itulah yang perlu ditumpukan.

Saya tidak salahkan sesiapa dalam kekeliruan ini tapi selalunya ‘kekeliruan’ sebenarnya adalah dinamika yang boleh kita jadikan ia sebagai fungsi berkesan kepada perubahan kerana setelah mendung dan ribut, matahari pasti akan bersinar.

Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden AMANAH
Ahli Parlimen Malaysia