MP Kuala Krai: 27.5% rakyat Malaysia tidak miliki rumah

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT MALAYSIA

PERTANYAAN                    : LISAN

TARIKH                                 : 4 APRIL 2016

DARIPADA                          : Y.B. DR. MOHD HATTA BIN MD. RAMLI

SOALAN                               :

Y.B. DR. MOHD HATTA BIN MD. RAMLI [ KUALA KRAI ] minta MENTERI KESEJAHTERAAN BANDAR, PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN menyatakan :-

(a) berapakah jumlah keseluruhan dan peratus penduduk Malaysia yang tidak memiliki rumah mereka sendiri dari 2008 sehingga sekarang; dan

(b) bagi tahun 2015, berapakah jumlah peratus anak muda (umur 21-40) yang tidak memiliki rumah mengikut kaum dan tarai pendapatan isi rumah.

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

(a) Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, berdasarkan kepada laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2015, Malaysia mempunyai kadar pemilikan rumah sebanyak 72.5%. Ini bermakna sebanyak 27.5% daripada isi rumah di Malaysia tidak memiliki rumah sendiri.

(b) Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN) telah mengambil inisiatif dalam transformasi perkhidmatan yang disediakan Kementerian melalui pembangunan Sistem Bank Data Perumahan (TEDUH). TEDUH merupakan satu sistem yang akan menjadi gerbang utama pengumpulan pelbagai data perumahan di Negara. Sistem ini sedang dibangunkan melalui integrasi sistem perumahan di agensi persekutuan, kerajaan negeri dan badan-badan berkanun.

Sistem ini juga akan mengintegrasikan pelbagai data daripada agensi pusat seperti Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Statistik dan lain-lain. Melalui sistem TEDUH, KPKT berharap maklumat-maklumat Iengkap mengenai pemilikan rumah mengikut kaum, umur dan taraf pendapatan dapat diperolehi. Sistem ini akan mula go-live pada 2017.

MP Kuala Krai: Penyelarasan Bajet 2016 tidak dibentangkan dalam Dewan Rakyat

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT MALAYSIA

PERTANYAAN                    : LISAN

DARIPADA                          : Y.B. DR. MOHD HATTA BIN MD. RAMLI

TARIKH                                : 31 MAC 2016

SOALAN                               :

Y.B. DR. MOHD HATTA BIN MD. RAMLI [ KUALA KRAI ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan mengapa penyelarasan Bajet 2016 tidak diumumkan secara formal dalam sidang Dewan Rakyat dan dibuat di Putrajaya sahaja.

JAWAPAN                           :

Tuan Yang di-Pertua,

Pengubahsuaian Bajet 2016 dilaksanakan mengambil kira perkembangan semasa ekonomi global dan unjuran purata harga minyak mentah dunia yang lebih rendah dan realistik, iaitu antara USD30 hingga USD35 setong berbanding USD48 sewaktu Bajet 2016 dibentangkan. Selaras dengan Pengubahsuaian Bajet 2016, Kerajaan telah mengumumkan langkah mengoptimumkan perbelanjaan yang dapat menjimatkan sehingga bilion daripada Perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan.

Tuan Yang di-Pertua,

Pengurangan perbelanjaan ini tidak memerlukan pembentangan semua memandangkan ianya tidak melebihi jumlah asal Bajet 2016 yang telah diluluskan oleh Parlimen. Amalan ini adalah selaras dengan subseksyer 13(3)(b) Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61) dan seksyen 8 Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 (Akta 406) yang memberi kuasa kepada Menteri Kewangan untuk menyekat atau menggantung mana-mana perbelanjaan yang telah diluluskan, sama ada Perbelanjaan Mengurus atau Perbelanjaan Pembangunan.

Sehubungan itu, Kerajaan berpandangan cadangan Pengurangan perbelanjaan ini tidak perlu dibentangkan semula di Parlimen memandangkan ianya tidak melibatkan implikasi tambahan kepatda perbelanjaan Bajet 2016.

MP Kuala Krai: Rumah RM300k hanya untuk pembeli rumah pertama

PEMBERITAHUAN DE PERTANYAAN WAN RAKYAT, MALAYSIA

PERTANYAAN                    : LISAN

TARIKH                                : 28 MAC 2016

DARIPADA                          : Y.B. DR. MOHD HATTA BIN MD RAMLI

SOALAN                               :

Y.B. DR. MOHD HATTA BIN MD. RAMLI [ KUALA KRAI ] minta MENTERI KESEJAHTERAAN BANDAR, PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN menyatakan

(a)  apakah rasional Kerajaan menetapkan syarat bahawa rumah di bawah harga RM300 ribu hanya boleh dibeli oleh mereka berpendapatan rendah sahaja; dan

(b) adakah masalah tersebut menyebabkan pemaju menaikkan harga melebihi RM300 ribu supaya lebih ramai yang boleh membeli. Apakah langkah Kerajaan mengelakkan ini berlaku.

JAWAPAN                           :

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, berdasarkan Pengubahsuaian Bajet 2016 yang telah diumumkan pada 28 Januari 2016. Kerajaan telah menetapkan kesemua penjualan rumah berharga sehingga RM300,000 adalah TERHAD KEPADA PEMBELI RUMAH PERTAMA SAHAJA  berkuat kuasa serta merta ke atas projek perumahan baharu.

Rasional kerajaan menetapkan penjualan rumah yang berharga sehingga RM300,000 adalah terhad kepada pembeli rumah pertama sahaja adalah untuk membolehkan golongan yang masih belum memiliki rumah untuk memiliki dan mendiami rumah mereka sendiri. Langkah ini juga adalah untuk mengelakkan aktiviti spekulasi bagi rumah yang berharga sehingga RM300,000.

Kerajaan juga akan mengadakan Jelajah Ekspo Pemilikan Rumah Bersepadu yang menawarkan lebih 100,000 unit rumah meliputi rumah-rumah yang ditawarkan oleh JPN di bawah program Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan MyHome, PR1MA, SPNB, PPA1M, agensi negeri serta sector swasta bagi memastikan penawaran rumah dapat diakses oleh semua lebih-lebih lagi golongan B40 dan M40.

MP Kuala Krai: TH telah memberikan Jaminan Korporat kepada LTH Property Holdings Ltd

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT MALAYSIA

PERTANYAAN                    : LISAN

DARIPADA                          : YB DR. HATTA BIN MD. RAMLI

TARIKH                                : 23 MAC 2016

SOALAN                               :

Dr. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai] minta PERDANA MENTERI menyatakan:-

(a) berapakah jumlah “Corporate Guarantee” yang telah diberikan oleh Tabung Haji kepada anak syarikat dan syarikat bersekutunya dari 2008 hingga 2015; dan

(b) adakah Tabung Haji pernah memberi “Corporate Guarantee” kepada syarikat-syarikat selain anak syarikat dan syarikat bersekutunya.

JAWAPAN                           :

Tuan Yang di-Pertua,

(a) Lembaga Tabung Haji ( TH) hanya memberikan Jaminan Korporat (Corporat Guarantee) kepada anak syarikatnya. Pada 2013, TH telah memberikan Jaminan Korporat kepada LTH Property Holdings Ltd yang merupakan anak syarikat milik penuhnya. Pemberian Jaminan Korporat ini untuk tujuan perjanjian pembiayaan “Murabaha Facility” antara LTH Property Holdings Ltd dengan Maybank Islamic Bank Berhad, OCBC Al-Amin Bank Berhad dan Standard Chartered Saadiq Berhad untuk tujuan pembiayaan semula hartanah sebanyak £100 juta untuk tempoh 5 tahun bagi pemilikan sebuah bangunan pejabat di 10 Queen Street Place, London, United Kingdom.

(b) Bagi syarikat bersekutunya atau syarikat-syarikat lain, TH tidak pernah memberi apa-apa bentuk Jaminan Korporat (Corporate Guarantee).

Sekian, terima kasih.