MP Kuala Terengganu: 1MDB

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT MALAYSIA

PERTANYAAN                    : LISAN

DARIPADA                          : Y.B. RAJA DATO’ KAMARUL BAHRIN SHAH BIN RAJA AHMAD BAHARUDDIN SHAH

TARIKH                                : 06 APRIL 2016

SOALAN                               :

Y.B. RAJA DATO’ KAMARUL BAHRIN SHAH BIN RAJA AHMAI BAHARUDDIN SHAH [ KUALA TERENGGANU ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan apakah tindakan pihak berkuasa atas syarikat dan anak-anak Syarikat 1MBD yang menjalankan urus niaga kewangan tanpa mengikut garis panduan syariah yang ditetapkan (Syariah Compliance).

JAWAPAN                           :

Tuan Yang Dipertua,

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, semua syarikat termasuk syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) beropersi berlandaskan Akta Syarikat 1965 dan Tataurus Syarikat (M&A). Pematuhan kepada syariah compliance (dengan izin) dalam sesuatu urus niaga kewangan adalah diputuskan oleh pihak pengurusan dan Lembaga Pengarah syarikat.

Advertisements

MP Kota Raja: Insentif guru di kawasan pendalaman

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT MALAYSIA

PERTANYAAN                    : LISAN

DARIPADA                          : Y.B. DR. HAJAH SITI MARIAH BINTI MAHMUD

TARIKH                                : 6 APRIL 2016

SOALAN                               :

Dr. Hajah Siti Mariah binti Mahmud [ Kota Raja ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan apakah perancangan Kementerian untuk menggalakkan guru-guru untuk berkhidmat di sekolah-sekolah luar bandar dan pendalaman.

JAWAPAN                           :

Tuan Yang di-Pertua,

Dalam usaha meningkatkan pencapaian murid-murid di kawasan luar bandar dan pedalaman, guru memainkan peranan yang penting selain penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas yang sempurna. Oleh itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa mengambil berat dalam menyediakan kemudahan dan insentif yang mencukupi untuk guru-guru yang bertugas di kawasan pedalaman. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, guru yang berkhidmat di kawasanpedalaman menikmati beberapa keistimewaan seperti berikut:

  1. a) Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (EKMLTK) atau Bayaran Insentif Pedalaman (BIP). Insentif ini adalah bagi menampung kekurangan fasiliti dan kesusahan/ prasarana di pedalaman;
  2. b) Bayaran Insentif Tetap Perumahan (ITP) sepenuhnya sekiranya menduduki rumah yang tidak memenuhi kriteria rumah Kerajaan. Keistimewaan ini adalah bagi menampung kekurangan kemudahan perumahan yang diberi;
  3. c) Elaun Balik Kampung setahun sekali;
  4. d) Skim Ex-Gratia Bencana Kerja bagi perjalanan pergi/balik dari tempat kediaman ke pekan terdekat untuk mendapatkan perkhidmatan dan keperluan asas harian; dan
  5. e) Elaun/insentif yang diterima oleh guru-guru di luar kawasan pedalaman.

Selain daripada itu, melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, KPM telah melaksanakan penambahbaikan bagi elaun-elaun sedia ada berdasarkan laporan kajian-kajian yang telah dijalankan seperti berikut:

  1. a) Kajian Penyemakan Semula Insentif bagi Jawatan Yang Sukar Diisi di Sekolah Berprestasi Rendah/Pedalaman; dan
  2. b) Kajian Impak Pelaksanaan Elaun Khas Lokasi Mengikut Tahap Kesusahan (EKLMTK).

Sehubungan itu, pemberian pelbagai insentif tersebut merupakan satu usaha KPM untuk menarik minat dan mengekalkan guru yang berkualiti di pedalaman.

MP Shah Alam: Pindaan Akta Rahsia Rasmi (OSA)

PEMBERITANUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT MALAYSIA

PERTANYAAN                    : LISAN

DARIPADA                          : YB TUAN HAJI KHALID BIN ABDUL SAMAD

TARIKH                                : 6 APRIL 2016

SOALAN                               :

Tuan Haji Khalid bin Abdul Samad [ Shah Alam ] minta PERDANA MENTERI menyatakan pendiriannya terhadap cadangan pindaan Akta Rahsia Rasmi (OSA) oleh Peguam Negara berhubung hukuman rotan dan penjara seumur hidup.

JAWAPAN                           :

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Kebiasaannya peruntukan dalam suatu undang-undang akan dikaji apabila mencapai suatu tempoh masa yang tertentu. Dalam hal ini, Jabatan Peguam Negara berpandangan sudah tiba masanya peruntukan berkenaan hukuman dalam Akta Rahsia Rasmi 1972 dikaji semula selaras dengan perkembangan semasa penyebaran maklumat dalam dunia tanpa sempadan, serta kekerapan berlakunya ketirisan rahsia Kerajaan pada masa kini.
  2. Pada masa ini, Kerajaan masih belum memutuskan keputusan dasar berhubung apa-apa cadangan pindaan kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88].

Sekian, terima kasih.

MP Kuala Krai: 27.5% rakyat Malaysia tidak miliki rumah

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT MALAYSIA

PERTANYAAN                    : LISAN

TARIKH                                 : 4 APRIL 2016

DARIPADA                          : Y.B. DR. MOHD HATTA BIN MD. RAMLI

SOALAN                               :

Y.B. DR. MOHD HATTA BIN MD. RAMLI [ KUALA KRAI ] minta MENTERI KESEJAHTERAAN BANDAR, PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN menyatakan :-

(a) berapakah jumlah keseluruhan dan peratus penduduk Malaysia yang tidak memiliki rumah mereka sendiri dari 2008 sehingga sekarang; dan

(b) bagi tahun 2015, berapakah jumlah peratus anak muda (umur 21-40) yang tidak memiliki rumah mengikut kaum dan tarai pendapatan isi rumah.

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

(a) Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, berdasarkan kepada laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2015, Malaysia mempunyai kadar pemilikan rumah sebanyak 72.5%. Ini bermakna sebanyak 27.5% daripada isi rumah di Malaysia tidak memiliki rumah sendiri.

(b) Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN) telah mengambil inisiatif dalam transformasi perkhidmatan yang disediakan Kementerian melalui pembangunan Sistem Bank Data Perumahan (TEDUH). TEDUH merupakan satu sistem yang akan menjadi gerbang utama pengumpulan pelbagai data perumahan di Negara. Sistem ini sedang dibangunkan melalui integrasi sistem perumahan di agensi persekutuan, kerajaan negeri dan badan-badan berkanun.

Sistem ini juga akan mengintegrasikan pelbagai data daripada agensi pusat seperti Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Statistik dan lain-lain. Melalui sistem TEDUH, KPKT berharap maklumat-maklumat Iengkap mengenai pemilikan rumah mengikut kaum, umur dan taraf pendapatan dapat diperolehi. Sistem ini akan mula go-live pada 2017.

MP Sepang: 24,028 penderma YaDEIM batalkan SPG

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT MALAYSIA

PERTANYAAN                    : LISAN

DARIPADA                          : YB TUAN MOHAMED HANIPA BIN MAIDIN

TARIKH                                : 4 APRIL 2016

SOALAN                               :

Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin [ Sepang ] minta PERDANA MENTERI menyatakan

(a) sehingga 15 Febuari 2016, berapa ramaikah jumlah penderma yang menderma kepada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) melalui Skim Potongan Gaji Bulanan telah membatalkan atau menarik balik dari skim tersebut; dan

(b) berapakah jumlah pengurangan dana dari skim tersebut sehingga 15 Februari 2016 kesan daripada pembatalan atau penarikan balik penderma-penderma itu.

JAWAPAN                           :

Tuan Yang di-Pertua,

a) Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sejak awal pelaksanaan Skim Potongan Gaji (SPG) melalui Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dari tahun 1985 hingga kini, sebab pembatalan atau menarik balik dari SPG YaPEIM oleh penyumbang adalah pelbagai malah ia subjektif untuk diperkatakan. Ini kerana, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada hal ini. Antaranya:

  • meninggal dunia;
  • bersara;
  • berhenti kerja;
  • menyumbang kepada institusi lain;
  • berpindah tempat kerja;
  • kos sara hidup meningkat; dan
  • persepsi negatif/fitnah.

Pada tahun 2015, seramai 24,028 orang dan pada tahun 2016 (setakat Februari) seramai 8,906 orang telah membatalkan atau menarik balik dari skim ini. Walau bagaimanapun, terdapat juga penyumbang baharu dan penyumbang sedia ada yang menambah jumlah sumbangannya.

(b) Berikutan itu, telah berlaku pengurangan dana sebanyak RM420, 227 bagi tahun 2015 dan RM160,670 pada tahun 2016 (setakat Februari). Manakala jumlah penyumbang baharu dan penyumbang sedia ada yang menambah sumbangannya adalah sebanyak RM106 870.80

Sekian, terima kasih.