MP Parit Buntar: 1.5 juta rakyat Bangladesh hanyalah calon-calon pekerja

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT MALAYSIA

PERTANYAAN                    : LISAN

DARIPADA                          : YB DATO’ DR. MUJAHID YUSOF RAWA

TARIKH                                 : 9 MAC 2016

SOALAN                               :

DATO’ DR. MUJAHID YUSOF RAWA [Parit Buntar] minta MENTERI SUMBER MANUSIA menyatakan apakah justifikasi dan mekanisma yang digunakan untuk membawa masuk pekerja- pekerja asing daripada Bangladesh.

JAWAPAN                          :

Tuan Yang Dipertua,

MOU G to G 2012

  1. Kerajaan Malaysia pada 2012 telah memutuskan untuk rnembuka semula penggajian pekerja Bangladesh untuk bekerja di Malaysia melalui mekanisme Kerajaan kepada Kerajaan (G to G) setelah ia dibekukan pada tahun 2007. Pada ketika itu, Memorandum Persefahaman (MOU) tersebut hanya dibuka untuk sektor perladangan subsektor kelapa sawit, getah dan ladang hutan sahaja.
  2. Kandungan MOU tersebut juga telah menggariskan dengan jelas tanggungjawab majikan, pekerja, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Bangladesh demi memastikan kelangsungan pelaksanaan mekanisme ini. Kandungan MOU terbabit turut merangkumi proses dan prosedur serta standard kontrak perkhidmatan yang perlu dipatuhi oleh semua pihak. Menerusi pelaksanaan mekanisme ini, kedua-dua Kerajaan telah berjaya mengurangkan kos penggajian pekerja Bangladesh ke Malaysia dan menghapuskan unsur bebanan hutang ke atas pekerja.

Tuan Yang Dipertua,

MOU G to G Plus 2016

  1. Atas permintaan Kerajaan Republik Bangladesh, Kerajaan Malaysia telah bersetuju supaya penggajian pekerja Bangladesh melalui mekanisme G to G sedia ada ditambah baik kepada mekanisme G to G Plus dan melalui mekanisme baru ini, Bangladesh dibuka sebagai negara sumber kepada semua sektor formal yang dibenarkan. Pembukaan Bangladesh sebagai negara sumber baru juga akan memberi pilihan kepada majikan untuk menggajikan pekerja asing selain daripada 14 negara sumber yang lain iaitu Filipina, India, Indonesia, Kazakhstan, Kemboja, Laos, Myanmar, Nepal, Pakistan, Sri Lanka, Thailand, Turkmenistan, Uzbekistan dan Vietnam.
  2. Rentetan daripada keputusan tersebut, Kerajaan Malaysia telah menandatangani MOU baru (G to G Plus) bagi menggantikan MOU G to G 2012 pada 18 Februari 2016 di Dhaka, Bangladesh. Kandungan MOU tersebut, Iangsung tidak menyentuh sebarang jumlah bilangan pekerja Bangladesh yang akan dibawa masuk ke Malaysia, sebaliknya hanya menyentuh kepada perkara-perkara untuk ditambah baik. Antara penambahbaikan Konsep G to G Plus ini masih menekankan kepada peranan kedua-dua negara baik di pihak Kerajaan Malaysia mahupun Kerajaan Republik Bangladesh serta peranan agensi pekerjaan swasta di Bangladesh yang hanya berfungsi untuk membantu Kerajaan Republik Bangladesh di dalam merekrut dan menguruskan kemasukan warganya ke Malaysia.
  3. Konsep G to G Plus ini juga menggunakan sepenuhnya sistem atas talian bermula dari proses permohonan pekerja bagi mengawal penglibatan ejen pekerja asing tidak sah kenaikan kos yang menyumbang kepada penggajian serta risiko kepada eksploitasi pekerja asing. Pelaksanaan G to G Plus melalui sistem atas talian adalah bagi meminimumkan kos penggajian pekerja dan cost of doing business kepada majikan. Selain itu, kesemua kriteria yang ditetapkan di bawah G to G sebelum ini seperti memastikan majikan yang memohon adalah majikan prinsipal, kewajipan menyediakan kemudahan perumahan, pembayaran gaji minimum, kontrak perkhidmatan, tapisan Imigresen dan saringan kesihatan adalah dikekalkan.
  4. Kerajaan yakin bahawa pelaksanaan mekanisme ini akan membantu menaikkan penarafan Malaysia di dalam usaha-usaha mencegah dan memerangi aktiviti-aktiviti jenayah pemerdagangan orang, penyeludupan migran dan amalan buruh paksa.

Tuan Yang Dipertua,

  1. Berhubung angka 1.5 juta pekerja Bangladesh yang didakwa akan dibawa masuk oleh Kerajaan Malaysia, saya ingin tegaskan disini bahawa angka tersebut adalah merupakan calon-calon pekerja Bangladesh yang berdaftar dengan Kerajaan Republik Bangladesh yang bersedia untuk bekerja di luar negara. Kerajaan Malaysia masih berpegang kepada dasar bahawa penggajian pekerja asing dari mana-mana negara sumber hendaklah berdasarkan kepada keperluan sebenar industri dan sektor-sektor yang dibenarkan sahaja. Dalam konteks ini, majikan masih diberi kebebasan untuk memilih pekerja asing dari negara sumber yang lain dan tidak terhad kepada pekerja dari Bangladesh semata-mata.
  2. Pada 31 Disember 2015, seramai 282,437 pekerja Bangladesh telah dikeluarkan Pas Lawatan (Kerja Sementara) oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Tuan Yang Dipertua,

Hak Pekerja Tempatan Tidak Dinafikan

  1. Kerajaan menghargai sumbangan pekerja asing dalam meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi negara dan keperluan penggajian pekerja asing terutama dalam sektor pertanian, perladangan dan pembinaan yang sememangnya tidak dapat dielakkan. Namun begitu, Kerajaan sentiasa berusaha memastikan pekerja tempatan tidak dipinggirkan dan dinafikan hak mereka untuk bekerja di dalam semua sektor pekerjaan kerana hanya jawatan-jawatan yang tidak diisi oleh pekerja tempatan dalam sektor- sektor yang diluluskan sahaja dibenarkan untuk menggaji pekerja asing.
  2. Demi memastikan hak pekerja tempatan terjamin, Kerajaan telah mengenakan syarat yang ketat ke atas majikan yang ingin menggajikan pekerja asing dengan mewajibkan mereka mengiklankan kekosongan sesuatu jawatan dalam Portal JobsMalaysia sebelum dikeluarkan Sijil Perakuan Pengesahan Majikan. Pendekatan ini adalah bagi memastikan keutamaan mengisi sesuatu kekosongan jawatan diberikan terlebih dahulu kepada rakyat tempatan.
  3. Selain itu, bagi menjaga kepentingan pekerjaan kepada rakyat tempatan, penggajian pekerja asing hanya diluluskan kepada lima (5) sektor formal iaitu sektor pembinaan, pertanian, perladangan, perkilangan dan perkhidmatan (subsektor tukang masak restoran, pembersihan dan pencucian, pulau peranginan, hotel, spa, refleksologi, kedi (lelaki) dan pembantu taman tema) yang melibatkan jawatan pekerja am sahaja dan satu sektor informal iaitu pekhidmat domestik yang kurang diminati oleh rakyat tempatan.
  4. Oleh itu, dakwaan mengenai penggajian dan kemasukan pekerja asing menyebabkan rakyat tempatan hilang pekerjaan adalah tidak berasas kerana purata kadar pengangguran bagi tempoh 2010 hingga 2015 adalah dibawah paras 3%. Ini bererti bahawa pengisian kekosongan jawatan oleh pekerja asing bukanlah menggantikan pekerja tempatan dan berdasarkan data yang diperoleh kebanyakan penganggur adalah terdiri daripada kalangan belia dan graduan universiti yang tidak berminat untuk mengisi kekosongan jawatan sebagai pekerja am.
  5. Berdasarkan statistik JobsMalaysia sepanjang tahun 2015, hanya seramai 1,945 rakyat tempatan yang berdaftar sebagai pencari kerja baru dalam kategori pekerjaan asas. Manakala, permintaan majikan bagi kategori pekerjaan asas adalah jauh lebih tinggi dan keadaan ini telah memaksa Kerajaan membenarkan penggajian pekerja asing oleh majikan demi kelangsungan pihak industri.
  6. Walau bagaimanapun, untuk mengawal kemasukan pekerja asing dan demi menjamin peluang pekerjaan rakyat tempatan, Kerajaan juga telah menetapkan ratio di antara pekerja tempatan dan pekerja asing bagi setiap sektor dan subsektor yang dibenarkan. Sebagai contohnya, sektor perladangan (kelapa sawit) ialah keluasan tanah 8 hektar untuk seorang pekerja dan getah pula keluasan tanah 4 hektar untuk seorang pekerja. Manakala, untuk sektor perkilangan, bagi syarikat dalam subsektor elektrik dan elektronik, nisbah kelayakan yang ditetapkan adalah 2 pekerja tempatan bagi seorang pekerja asing.

Tuan Yang Dipertua,

  1. Kerajaan beriltizam untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dan berhasrat melahirkan 35% pekerja mahir di Malaysia menjelang tahun 2020 serta memastikan pekerja asing tidak melebihi 15% daripada jumlah guna tenaga negara menjelang tahun 2020 selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-11. Antara langkah-langkah yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing adalah seperti berikut:

(i) mempromosi dan memudahcara peluang penempatan pekerjaan melalui Program Penempatan Pekerjaan (3P) oleh Jabatan Tenaga Kerja;

(ii) menggalakkan sektor-sektor yang berintensifkan buruh beralih kepada penggunaan mekanisasi dan automasi bagi mengurangkan kebergantungan ke atas pekerja asing. Langkah ini dapat membantu negara mencapai sasaran melahirkan 35% pekerja mahir di Malaysia menjelang tahun 2020;

(iii) menetapkan ratio pekerja tempatan dan pekerja asing bagi menjamin peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan; dan

(vi) mengutamakan exit policy kepada penggajian pekerja asing dengan menyediakan pelan latihan kemahiran kepada pekerja tempatan.

Tuan Yang Dipertua,

Senarai majikan/industri Yang Memohon Pekerja Bangladesh

  1. Kementerian Sumber Manusia tidak mempunyai senarai majikan atau industri yang memohon untuk menggajikan pekerja Bangladesh secara spesifik kerana secara lazimnya majikan akan mengemukakan permohonan kepada Jabatan Tenaga Kerja, sekiranya mereka ingin menggajikan pekerja asing. Jabatan Tenaga Kerja akan menjalankan siasatan untuk menilai kelayakan seseorang majikan tersebut termasuk dari segi pematuhan kepada standard-standard perburuhan.

Syarikat Real Time Networking Sdn. Bhd.

  1. Berkaitan dengan Syarikat Real Time Networking Sdn. Bhd. pula, Kementerian Sumber Manusia tidak pernah melantik mana-mana syarikat untuk menjalankan urusan kemasukan pekerja asing dari mana-mana negara sumber.

Cadangan Untuk Mengambil PATI Sabah Sebagai Pekerja Bagi Menggantikan Pekerja Bangladesh

  1. Sementara itu, penggajian pekerja bukan pemastautin tetap di Sabah dan Sarawak adalah tertakluk kepada bidang kuasa Kerajaan Negeri masing-masing kerana Sabah dan Sarawak mempunyai ordinan buruh yang tersendiri.

Tuan Yang Dipertua,

Sumbangan Pekerja Asing Kepada Kadar Pertumbuhan Ekonomi Negara

  1. Kehadiran pekerja asing di Malaysia telah menimbulkan pelbagai persepsi negatif dan mencetuskan ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat. Namun begitu, sumbangan golongan ini kepada kadar pertumbuhan ekonomi negara tidak boleh dinafikan.
  2. Kajian Bank Dunia mengenai Malaysia Economic Monitor: Immigrant Labour 2015 telah menunjukkan bahawa pekerja asing telah menyumbang kepada peningkatan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Menurut kajian tersebut, pengisian kekosongan jawatan pekerja am oleh pekerja asing terutama dalam sektor pertanian telah menyumbang sebanyak 8% kepada KDNK. Manakala, bagi sektor perkhidmatan telah menyumbang sebanyak 19% kepada kadar pertumbuhan KDNK. Data kajian juga menunjukkan bahawa 95% pekerja asing di Malaysia telah mengisi jawatan sebagai pekerja am.

Tuan Yang Dipertua,

Levi Pekerja Asing

  1. Kerajaan berhasrat untuk memperkemaskan sistem pengurusan pekerja asing sedia ada dengan kadar levi diklusterkan kepada dua (2) kategori. Kerajaan berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk memperkemaskan sistem pengurusan pekerja asing. Pekerja asing pada ketika ini, dikenakan bayaran levi mengikut sektor berbeza-beza.
  2. Bayaran levi yang berbeza-beta ini bukan sahaja mengelirukan majikan malah turut mendorong pekerja asing melanggari syarat lmigresen semata-mata untuk berkerja di dalam sektor yang mengenakan bayaran levi yang Iebih murah. Oleh yang demikian, satu sistem levi yang lebih efisyen diperlukan bagi menggantikan sistem levi sedia ada.
  3. Sehubungan itu, kadar levi akan diselaraskan mengikut kategori di mana kategori satu terdiri daripada sektor perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan. Manakala, kategori kedua terdiri daripada sektor perladangan dan pertanian.
  4. Pihak Kerajaan juga telah melaksanakan sesi engagement dengan wakil-wakil industri dan telah mendapatkan maklum balas terhadap cadangan Kerajaan untuk menentukan kadar levi yang bersesuaian. Kadar levi baharu yang telah ditetapkan oleh Kerajaan telah mengambil kira maklum balas yang diberikan oleh industri dan kadar ini tidak akan membebankan dan tidak menjejaskan momentum industri.
  5. Selain itu, penstrukturan kategori levi juga merupakan komitmen Kerajaan untuk sentiasa menambah baik pengurusan pekerja asing di samping menggalakkan industri berintensifkan buruh untuk beralih ke arah indusri berasaskan automasi dan mekanisasi. Peralihan ini dijangka meningkatkan produktiviti serta meningkatkan daya saing industri.
  6. Walau bagaimanapun, Kerajaan buat masa ini telah bersetuju untuk menangguhkan kenaikan kadar levi ini ke suatu tarikh yang akan ditentukan setelah mendapat maklum balas dari industri.

Tuan Yang Dipertua,

Penutup

  1. Kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada rakyat tempatan untuk mengisi sebarang kekosongan jawatan yang ditawarkan oleh pihak majikan. Hanya jawatan-jawatan yang tidak diminati atau tidak dapat diisi oleh pekerja tempatan dalam sektor-sektor yang diluluskan sahaja akan dibenarkan untuk menggajikan pekerja asing. Kerajaan juga sentiasa menambah baik dasar penggajian pekerja asing bagi memastikan proses kelulusan, pengambilan, penggajian dan penghantaran pulang pekerja asing menepati keperluan sebenar industri dalam ekonomi negara.
  2. Selain itu, Kerajaan juga sentiasa memastikan layanan yang sama rata oleh majikan ke atas semua pekerjanya dan tiada unsur diskriminasi di antara pekerja tempatan dan pekerja asing dalam konteks perburuhan. Kerajaan komited untuk memastikan hak dan kebajikan semua pekerja terjamin selaras dengan peruntukan Akta Kerja 1955 dan amalan-amalan pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bagi memacu pembangunan Malaysia ke arah sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s