MP AMANAH Kota Raja Bahas RUU Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

Perbahasan RANG UNDANG-UNDANG KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA (PINDAAN) 2015 pada 20 Oktober 2015 – MP AMANAH Kota Raja

Dr. Siti Mariah binti Mahmud [Kota Raja]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Alhamdulillah, saya mendapat kesempatan ini kerana walaupun hari ini kita membincangkan tentang rang undang-undang pindaan mengenai untuk membersihkan pelaburan KWSP ini bagi orang yang beragama Islam, namun saya rasa ada satu aspek lagi yang perlu saya timbulkan di sini ialah mengenai wang simpanan KWSP ini yang secara umum kita tahu adalah simpanan hari tua.

Saya dan kumpulan-kumpulan wanita baru ini mendapat banyak maklum balas daripada ibu tunggal, ibu-ibu yang diceraikan dan sebagainya tentang hak mereka di atas wang simpanan KWSP ini.

Ada perbezaan pendapat di antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil. Fatwa daripada Majlis Fatwa kita mengatakan bahawa Kumpulan Wang Simpanan ini adalah pusaka sekiranya penyimpannya itu meninggal dunia tetapi Mahkamah Sivil sudah mengiktiraf yang KWSP ini, dalam kes-kes yang telah berlaku dalam tuntutan Mahkamah Sivil, adalah harta sepencarian.

Soalannya adalah begini. Apabila KWSP ini hanya boleh dikeluarkan pada umur 55 tahun, di antara pencarumpencarum ini ada kes-kes tuntutan ke atas mereka yang belum dilunaskan terutama dalam kes penceraian. Saya tolak kes sama ada ia isu harta sepencarian atau tidak, tetapi jelas bahawa bagi mereka yang gagal menunaikan tuntutan-tuntutan di Mahkamah Syariah yang telah sebenarnya dijatuhkan hukum oleh Mahkamah Syariah dalam pembayaran nafkah, pembayaran mutaah dan sebagainya, terutama sekali apabila masih ada lagi anak-anak yang bersekolah, anak-anak yang tidak ditanggung oleh pencarum ini, bilakah pihak kementerian akan membuat pindaan di mana caruman mereka ini bila mereka dapat keluarkan ataupun semasa dia masih lagi bekerja boleh dikeluarkan untuk membayar mutaah isteri, membayar nafkah anak-anak dan juga membiayai apa-apa keperluan anak-anak yang ditanggung oleh pihak isteri?

Kita bercakap mengenai penyucian wang yang kita simpan, kita tidak mahu wang kita bersubahat dalam pelaburan yang tidak syariah compliance tetapi kalau pencarumnya duitnya banyak dalam KWSP dan kemudian dia tidak melunaskan hutang, dia berhutang dengan isterinya apabila bercerai, dia tidak bayar mutaah, kemudian dia berhutang dengan bekas isterinya kerana tidak bayar tuntutan nafkah dan apabila Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman begini, biasanya telah menetapkan bahawa bekas suami perlu membayar mutaah, perlu membayar nafkah anak-anak dan sebagainya.

Alasan yang sering diberi pada ketika itu adalah pendapatan mereka ini kecil, tidak mampu bayar dan sebagainya. Jadi mungkin kita perlu lihat semula bahawa pencarum ini ada simpanan, dan bila dia ada simpanan dan dia berhutang kepada bekas isterinya, maka kita sebagai kerajaan yang mempunyai kuasa boleh mentadbir harta itu untuk melunaskan hutang-hutang ini kepada bekasbekas isteri seperti mana juga jika pencarum meninggal, ia menjadi pusaka.

Dalam pembahagian pusaka, pertama, perlu melunaskan hutang, barulah wang itu boleh difaraidkan. Ini maksudnya dalam perkahwinan yang masih intact, yang masih orang kata tidak berlaku cerai berai. Akan tetapi bagaimana dengan satu perkahwinan yang telah orang kata tamat di separuh jalan, bekas isterinya sudah tidak dapat menikmati sama-sama hasil simpanan semasa mereka bersama?

Malah bekas suami gagal membayar perkara-perkara yang dituntut oleh syarak kepada bekas isteri dan anak-anaknya. Jadi saya walaupun dalam seolah-olah out of context tapi saya rasa dalam ucapan dasar ini perkara ini perlulah kita fikirkan bersama untuk memberi keadilan kepada wanita yang telah diceraikan dan suaminya mampu untuk melunaskan hutang mutaah, hutang nafkah anak-anak dan sebagainya dan hanya undang-undang yang boleh menentukan bahawa di situ ada hak isterinya menuntut. Cuma sekarang ini masalahnya adalah tuntutan itu, perceraian dan sebagainya dibuat di Mahkamah Syariah dan Mahkamah Syariah tidak ada kuasa ke atas untuk melaksanakannya di atas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ini dan hanya Mahkamah Sivil boleh melaksanakan. Namun adalah menjadi satu beban kepada wanita beragama Islam.

Apabila sudah bercerai, masuk Mahkamah Syariah, Mahkamah Syariah tidak dapat melaksanakan, terpaksa fail lagi satu tuntutan di Mahkamah Sivil dan sebagainya. Jadi saya harap perkara ini dapat diberi perhatian dan saya juga minta supaya isu sama ada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ini juga boleh difikirkan semula oleh badan-badan agama Mahkamah Syariah, Majlis Fatwa dan sebagainya sebagai harta sepencarian.

Setakat ini Mahkamah Syariah mempunyai pandangan yang berbeza dengan Mahkamah Sivil kenapa wanita Islam dinafikan hak mereka untuk mendapat hak di atas harta sepencarian ini kerana seorang suami tidak mungkin bekerja dan mengumpul ataupun ada wang simpanan sebegitu di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja kerana dengan menyimpan itu sebenarnya sebahagian daripada keperluan keluarga ataupun kalau duitnya ada cash di tangannya sudah tentu membelanjakan untuk keluarganya tetapi oleh kerana sistem yang kita ada, undang-undang yang kita ada memaksa pekerja mencarum, maka duit itu jadi di luar jangkauan ahli keluarganya, di luar jangkauan isterinya, di luar jangkauan anak-anaknya. Jadi apabila berlaku perceraian, maka wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ini perlu ditaksir sebagai harta sepencarian dan isteri yang diceraikan juga ada hak di atas wang ini. Sekian terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s