Sudahlah Peguam Negara ditukar dengan begitu sahaja dan Timbalan Perdana Menteri ditukar dengan begitu sahaja

Perbahasan Usul Perlantikan Jawatankuasa Pemilih

Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Saya ucapkan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atas usul yang dibawa. Walaupun kita memahami dan kita mengakui bahawa ia merupakan hak bagi Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk membuat pindaan ini dan pertukaran keanggotaan bagi ahli Jawatankuasa Pemilih.

Akan tetapi agak penting juga untuk kita memahami latar belakang mengapa pertukaran-pertukaran ini dilakukan. Ini kerana kita yakin bahawa kita semua memahami bahawa Jawatankuasa Pemilih ini adalah di antara jawatankuasa-jawatankuasa yang terpenting di dalam institusi Parlimen yang mana ia boleh membenarkan adanya peranan check and balance, semak dan timbang yang dilakukan.

Adakah pertukaran ini hasil daripada keadaan yang mana ahli-ahli Jawatankuasa yang lalu tidak memainkan peranan yang seperti mana yang sepatutnya? Adakah oleh kerana ia merupakan satu keperluan demi kepentingan institusi Parlimen ini juga ataupun adakah ia dilakukan untuk menjamin bahawa Jawatankuasa itu berfungsi dengan cara yang diinginkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri itu sendiri? Oleh kerana itu saya merasakan bahawa– ya, sila Yang Berhormat Kuala Krai. Boleh mencelah?

Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Terima kasih. Dalam perbahasan boleh. Terima kasih Yang Berhormat Shah Alam. Saya juga terasa apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Shah Alam itu relevan kerana Ketua Pembangkang dilantik kerana menggantikan Ketua Pembangkang yang lalu yang telah dipenjarakan. Malah sepatutnya pelantikan yang baru ini dibuat dalam sesi yang lalu kerana Ketua Pembangkang yang baharu sudah berada dalam Dewan ini.

Manakala tiga – berapa nama lagi tadi? [Disampuk] Ya lah berapa orang lagi tadi? [Dewan riuh] Yang Berhormat Segamat, Yang Berhormat Bagan Datok adalah menggantikan wakil-wakil rakyat yang sedia ada dalam Dewan. Mereka masih ada dalam Dewan. Jadi apa kepentingan untuk menggantikan wakil rakyat yang ada. Jadi saya minta Yang Berhormat Shah Alam boleh bawa mana logiknya perkara ini berlaku. Terima kasih.

Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Terima kasih Yang Berhormat Kuala Krai. Tuan Yang di-Pertua, kita menghadapi satu suasana krisis integriti dan kredibiliti. Ini menjejas bukan sekadar institusi-institusi Parlimen tetapi juga ekonomi negara. Kita tahu bahawa ada sebagai contoh Tan Sri Zeti sebagai Gabenor Bank Negara telah mengatakan bahawa ini merupakan suatu keadaan yang merumitkan negara dan ekonomi sehingga nilai mata wang kita telah jatuh merudum.

Maka saya khuatir bahawa tindakan pemilihan dan penggantian anggota kepada Jawatankuasa Pemilih ini akan mempunyai satu kesan yang buruk dan bertambah buruk lagi ke atas imej dan persepsi dunia antarabangsa terhadap negara kita. Sudahlah Peguam Negara ditukar dengan begitu sahaja dan Timbalan Perdana Menteri ditukar dengan begitu sahaja hanya sekadar atas sebab [Dewan riuh] bersuara dan bertanya, ya bertanya, bukan menyerang hanya sekadar bertanya.

Apabila sekarang ini pula kita lihat bagaimana [Dewan riuh] Jawatankuasa Pemilih di dalam Parlimen itu sendiri pula ditukar dan… [Dewan riuh] Ya, sila bangun?

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, Ahli-ahli Yang Berhormat.

Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Ada yang hendak cakap?

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Shah Alam, duduk Yang Berhormat Shah Alam.

Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Ya, baik terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat yang lain, bukankah Ahli-ahli Yang Berhormat tahu peraturan mesyuarat. Kalau seseorang Yang Berhormat sedang berhujah jangan ganggu dengan cara begitu. Yang Berhormat Shah Alam sebenarnya kalau saya bersikap ikut peraturan mesyuarat yang benar, kerana semua tahu bahawa Friday itu, hari lima akan datang ini bajet dibentangkan. Saya tahu setiap wakil rakyat ingin berhujah sewaktu bajet. Kalau apa-apa yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat pada sesi ini juga akan dibangkitkan pada bajet ini itu ertinya repetitive. Dalam peraturan mesyuarat soal repetitive, berulang-ulang di hujah itu tidak dibenarkan kerana menghabiskan masa.

Jadi untuk Peraturan Mesyuarat 76 ini, kewajaran kerana timbul kekosongan pada sewaktu Ketua Pembangkang tidak dinamakan pada ketika itu atas sebab tidak ada kewajaran untuk memilih orang-orang lain dalam jawatankuasa lain. Jadi ini merupakan suatu kewajaran dalam peraturan mesyuarat. Maka menamakanlah orang-orang yang perlu dinamakan. Ini kerana sehingga nama-nama yang patut dinamakan di bawah Peraturan Mesyuarat 76 ini disebut maka tidaklah dapat dilantik nanti Ahli-ahli di PAC itu. Itu cuma kewajaran. Jadi saya ingatkan supaya dalam berbahas jangan terlampau jauh bawa isu yang boleh dibawa nanti sewaktu bajet. Sila.

Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua atas peringatan itu. Saya rasa pemilihan ahli jawatankuasa, Jawatankuasa Pemilih ini tidak akan saya bahaskan dalam bajet, maka insya-Allah tidak akan ada berlakunya repetitive. Akan tetapi persoalan yang saya timbulkan ialah persoalan persepsi dalam pelantikan baharu yang walaupun ia dilihat seolah-olah tidak ada kena mengena dan tidak akan mendatangkan apa-apa implikasi kerana ia semuanya adalah hak mutlak kepada Perdana Menteri, hanya saya memohon supaya untuk hendak elakkan persepsi yang negatif itu maka penjelasan diberikan.

Mengapa perlu dilakukan pertukaran kepada anggota-anggota yang telah ada sebelum ini, selain daripada Ketua Pembangkang yang semua maklum sebab kenapa ia perlu ditukar, tetapi yang lain-lain yang masih lagi merupakan Ahli Parlimen yang senior, yang berpengalaman yang telah memberikan khidmat dan prestasi yang baik sambil mereka mendukung jawatan sebagai anggota kepada Jawatankuasa Pemilih itu.

Lalu saya mengharapkan bahawa Perdana Menteri setelah membawa usul ini memberikan penjelasan supaya dapat menutup segala andaian-andaian yang negatif. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Beberapa Ahli: [Menyampuk]

Tuan Yang di-Pertua: Sila.

Tuan Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Tuan Yang di-Pertua saya tanya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. [Ketawa]

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s