Mana RM2.6 bilion …. Soalan pada 19 Oktober 2015

Pertanyaan Jawab Lisan

Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Terima kasih Tuan Yang diPertua, soalan ini juga ditanya oleh Kuala Krai yang telah dijawab bersama tadi. Kemungkinan untuk kita mencari jalan mengawal kemasukan ataupun derma-derma sumbangan kepada parti politik itu lebih mudah berbanding dengan mengesan penerimaan oleh individu-individu terutama yang terus masuk ke akaun-akaun peribadi seperti yang pernah berlaku.

Jadi cadangan yang dibawa oleh Yang Berhormat Menteri tadi, beberapa negara seperti Korea disebabkan itu nampaknya baik dan memberikan kuasa kepada SPR untuk menyiasat perbelanjaan individu juga adalah bagus.

Akan tetapi, apakah jaminan bahawa kalaupun dipinda peraturan ataupun undang-undang yang membolehkan SPR menyiasat, kita memastikan bahawa pihak berkenaan yang berkuasa ini mampu melaksanakan tanggungjawab tersebut. Ini kerana kadang-kadang berbagai complaint yang dikemukakan tidak diambil endah walaupun ada peruntukan-peruntukan yang sedia ada.

Jadi untuk menyiasat individu dan calon-calon ini, saya rasa merupakan cabaran yang mesti ditangani dan apakah jalan yang akan dikemukakan oleh kerajaan bagi mengatasi masalah ini? Terima kasih.

Dato’ Razali bin Ibrahim [ Timbalan Menteri JPM ] : Soalan yang hampir sama seperti yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Marang. Sebenarnya Yang Berhormat, pertama kita perlu terima bahawa kita tidak ada satu undang-undang yang jelas. Memang keresahan Yang Berhormat menjadi keresahan kami.

Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13, sudah ada cadangan yang dikemukakan. Malangnya pada ketika itu tidak mendapat sambutan daripada semua parti politik dalam negara, khususnya pihak DAP yang memang terangterang menyatakan untuk tidak mahu membincangkan dan menerima ketika Institut Integriti Malaysia (IIM) mengemukakan kepada semua parti politik.

Jadi, kita harap perkara itu tidak berulang. Ini kerana hari ini pun ada banyak kaedah digunakan oleh parti politik untuk mengumpul dana termasuk kutipan dalam majlis-majlis, termasuk mengeluarkan dalam YouTube seperti yang dibuat oleh Yang Berhormat Petaling Jaya Utara yang meminta rakyat menyumbang kepada parti untuk membantu Sarawak. Kita tidak tahu berapa banyak jumlah yang dikutip oleh kempen tersebut dan bagaimana dibelanjakan. Ini semua perkara yang memang berlaku yang perlu …

Seorang Ahli: RM2.6 bilion.

Dato’ Razali bin Ibrahim: Semualah, semualah. Sebagai contoh, kenapa marah? Saya sebut sedikit sahaja. Sedikit sahaja. Maknanya benda itu boleh. Gambar kita tengok dalam WhatsApp, ada duit sebukit dikira. Ini semua kerana kita tidak ada satu undang-undang yang jelas. Untuk kita maju ke hadapan, saya rasa kita perlukan sokongan daripada semua supaya perkara ini tidaklah bersandarkan kepada emosi dan persepsi.

Oleh sebab itu kita nyatakan tadi, jawatankuasa ini akan menimbangkan keseluruhannya. Oleh sebab itu tidak boleh kita gunakan perasaan hati kita untuk kita menentukan satu-satu kesalahan kerana kita ada undang-undang yang patut kita patuhi dan janganlah kita terjemahkan undang-undang itu mengikut selera kita. Sebagai contoh, SPRM meletakkan satu tahap yang sangat tinggi dalam pembentangan menyatakan bahawa derma dan hadiah juga merupakan satu kesalahan.

Bagi mereka menyiasat, tetapi selepas menyiasat jika tidak ada perlanggaran kepada undang-undang, Yang Berhormat masih mengatakan benda itu sebagai satu benda yang salah, tidak. Hadiah boleh tetapi kalau digunakan dengan cara yang tidak betul atau ada elemen-elemen lain, hadiah pun akan menjadi satu perkara yang menjadi kesalahan.

Jadi ini adalah perkara pada saya sangat penting untuk kita semua Ahli-ahli Yang Berhormat, untuk memainkan peranan kerana pihak jawatankuasa akan mengeluarkan surat kepada parti-parti politik bagi menamakan wakil masing-masing di bawah cluster politik untuk membincangkan cadangan, termasuk akan keluarkan surat juga kepada pihak-pihak syarikat bagi mereka memberikan pandangan bagaimana mereka sebagai orang yang menyumbang dapat juga mendapat perlindungan dan manfaat daripada sumbangan supaya semua perkara ini dapat menyelesaikan isu yang sedang menjadi perbualan hangat yang tidak akan ada penghujung dan kesudahan.

Terima kasih Yang Berhormat.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s